Thursday, July 23, 2020

Walaupun kali ini bersyarat, Mahathir terus galakkan kegiatan lompat parti

  Malaysian Mirror       Thursday, July 23, 2020
democracy, malaysianmirror, UmmahIslamiahMalaysia, Democratic, Movement, Malaysia, malasiyatiktok, AnwarforPM9,
Sedang beliau sibuk berinteraksi dengan golongan muda di Parlimen Digital, Tun Mahathir mengulangi kenyataan yang dibuat pada Oktober tahun lalu tentang kegiatan lompat parti dengan mengatakan bahawa tindakan itu boleh diterima jika seorang ahli tidak berpuashati dengan parti. Inilah yang sering dilakukan oleh beliau selama ini jika ada yang tidak mengikut selera beliau dalam UMNO suatu ketika dahulu. Walaubagaimanapun, kali ini, Tun Mahathir memaklumkan media bahawa tindakan itu tidak boleh diterima sekiranya ia melibatkan seluruh ahli parti yang memberontak untuk menjatuhkan sebuah kerajaan, sepertimana yang beliau telah alami dalam parti Bersatu sehingga terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini. Barangkali, dek kerana pernah berkali-kali menjadi Perdana Menteri Malaysia dan yang paling lama berkhidmat, Tun Mahathir fikir beliau mempunyai ‘lesen’ untuk membuat kenyataan sebegitu, namun sebaliknya ia juga menunjukkan bahawa beliau gagal mempamerkan rasa taat setia kepada parti agar menjadi contoh kepada golongan muda.

Soal siapa yang bersalah sehingga membawa kepada peralihan kuasa pada Februari lalu masih lagi belum terjawab. Demi mempertahankan diri, Tun Mahathir mendakwa bahawa peletakan jawatan beliau adalah disebabkan ketidaksetujuan beliau dengan idea untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin kleptokratik UMNO. Namun sebaliknya, ahli jawatankuasa tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, telah mendedahkan bahawa Tun Mahathir terlibat dan tahu tentang rancangan untuk mengadakan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu untuk menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH),  yang mana seterusnya memberi kesan negatif kepada beliau dengan penularan beberapa kilp audio dan gambar di media. Rakyat Malaysia yang selama ini mengambil berat tentang Tun Mahathir turut berasa tertipu dan dikecewakan oleh mantan perdana menteri itu, tambahan pula setelah mengetahui bahawa rupa-rupanya beliau juga terlibat dalam peralihan kuasa kerajaan itu. Hasilnya, Tun Mahathir disingkir dari parti beliau sendiri iaitu Bersatu yang mana merupakan satu tamparan hebat buat beliau.

Semasa beberapa hari pertama sidang Parlimen yang bermula pada 13 Julai 2020, Tun Mahathir sering dicemuh dan diperlekehkan atas tindakan beliau pada Februari lalu terutama sewaktu perbahasan Titah Diraja. Apalah lagi yang dapat beliau boleh lakukan selain berlagak tenang ketika dilemparkan dengan pelbagai pertuduhan oleh ahli Parlimen UMNO dari Baling, Kinabatangan, Arau dan Pasir Salak. Seolah ingin menambah luka, ahli Parlimen Pekan, Dato’ Seri Najib Razak, baru-baru ini berkongsi sebuah video di laman media sosial beliau dengan mendakwa bahawa ketidakadilan yang sama pernah berlaku di Parlimen semasa pelantikan bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof semasa PH menjadi kerajaan pada 2018. Najib Razak dilihat berani menyerang balas hampir semua dakwaan Tun Mahathir ke atas beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan mewarwarkan ‘salahlaku’ Tun Mahathir di masa lampau, namun tiada satu pun tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas beliau.

Selagi undang-undang anti lompat parti masih lagi dicadangkan oleh beberapa kerajaan negeri dan masih dalam peringkat kajian oleh Putrajaya, tiada siapa yang boleh menyangkal persetujuan Tun Mahathir ke atas kegiatan lompat parti. Namun dengan jalinan hubungan rapat dengan golongan muda di platfom Parlimen Digital demi mendapatkan sokongan pengundi muda, adakah pendirian ini satu contoh yang baik untuk generasi muda ikuti? 

By Adillah Jaafar

An online platform to show the Image of Democracy of Malaysia. Let's take part in the Democratic Movement of Malaysia and show the beautiful image of Malaysia to the whole world.
logoblog

Thanks for reading Walaupun kali ini bersyarat, Mahathir terus galakkan kegiatan lompat parti

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment