Friday, August 7, 2020

UMNO pantang dicabar Bersatu dalam soal pertandingan kerusi di Sabah

  Malaysian Mirror       Friday, August 7, 2020

Mungkin sebagai tanda solidariti, UMNO dan Bersatu sering dilihat mesra namun ini tidak akan berterusan apabila soal berkaitan peruntukan kerusi yang bakal dipertandingkan mula timbul, terutamanya dalam pilihanraya negeri Sabah akan datang. Apabila ketua Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bahawa parti tersebut mempunyai rancangan untuk bertanding sekurang-kurangnya 45 dari 65 kerusi Dewan Undangan Negeri, naib presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin membidas dakwaan tersebut dengan mengatakan bahawa parti Bersatu Sabah tidak layak untuk berbuat demikian kerana ia merupakan sebuah parti yang hanya wujud disebabkan oleh sekumpulan pengkhianat dan UMNO masih lagi relevan di negeri itu untuk terus mendapatkan sokongan akar umbi.

Sementara itu, ketua penerangan UMNO Shahril Hamdan secara angkuhnya memberitahu Bersatu untuk tidak bermimpi untuk bertanding sejumlah kerusi tersebut di Sabah. Beliau berkata, Bersatu seharusnya sedar diri sebagai sekutu jika ia mahu terus bersahabat baik dengan UMNO. Tidakkah ini menunjukkan bahawa UMNO masih mahu menuntut ‘hak’nya ke atas Sabah walaupun rampasan kuasa pada 30 Julai lalu tidak berjaya sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri? Adakah UMNO masih mahu berlagak seperti ‘raja’ di Sabah meskipun Tan Sri Musa Aman, yang merupakan satu-satu ADUN UMNO, telah berusaha untuk mendapatkan sokongan ADUN yang datangnya dari parti lain seperti Warisan, UPKO, PKR Sabah dan DAP Sabah? Adakah ia akan berjaya bila Musa Aman didapati kurang rapat dengan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berbanding dengan rapatnya pemerintah negeri itu dengan Ketua Menteri Dato’ Seri Shafie Apdal? Berjayakah UMNO Sabah dalam usahanya yang diketuai Datuk Bung Mokhtar Radin untuk mengambil alih kepimpinan Sabah?

‘Hubungan cinta’ antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN) ini sememangnya pelik dan mengelirukan, bukan hanya di Sabah, tapi juga di peringkat pusat. Presiden UMNO Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi baru sahaja mengeluarkan kenyataan mengulangi pendirian UMNO untuk tidak menyertai pakatan PN secara rasmi dan mahu terus bersama Muafakat Nasional (MN). Adakah keputusan ini dibuat demi kebaikan UMNO atau diri beliau sendiri? Mungkin meninggalkan PN adalah jalan penyudah buat beliau dan beberapa pemimpin kleptokrat UMNO yang lain. Ada pihak yang mendakwa bahawa nasib Muhyiddin Yassin seakan berada di hujung tanduk, manakala penganalisa politik pula meramalkan bahawa beliau bakal menjadi presiden UMNO yang baharu dengan bantuan Khairy Jamaluddin dan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein apabila Zahid Hamidi didapati bersalah di mahkamah dan kehilangan kelayakan sebagai presiden parti nanti. Secara umumnya, rakyat marhaen melihat semua tindakan ini sebagai sebahagian strategi menyelamatkan diri pemimpin tertentu, bukan untuk kepentingan parti. Justeru, apakah halatuju Bersatu kini? Adakah Bersatu akan mencabar UMNO atau mencari jalan untuk mengambil alih UMNO secara diskret?

By Adillah Jaafar
An online platform to show the Image of Democracy of Malaysia. Let's take part in the Democratic Movement of Malaysia and show the beautiful image of Malaysia to the whole world.
logoblog

Thanks for reading UMNO pantang dicabar Bersatu dalam soal pertandingan kerusi di Sabah

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment